Thursday, February 3, 2011

Antara Dua Jiwa


Perkahwinan merupakan sesuatu yang diimpikan oleh setiap pasangan yang bercinta maupun tidak. Perkahwinan adalah ikatan kekal abadi antara dua insan untuk selama-lamanya dan berkongsi hidup susah dan senang bersama-sama. Ikatan perkahwinan ini adalah sesuatu yang amat mulia disisi agama Islam. Ia adalah permulaan penyambungan zuriat oleh keturunan masing-masing. Adakah pasangan yang berkahwin benar-benar memahami erti perkahwinan dan adakah kursus perkahwinan yang dikelolakan oleh jabatan agama Islam sudah cukup untuk menyampaikan apakah sebenarnya erti hidup sebagai suami isteri.

Setiap pasangan yang bercinta mahukan pasangan yang menepati ciri masing-masing untuk dijadikan teman hidup. Sehinggakan ada yang terlupa dengan agama dan adat resam kita. Ada pula yang terlalu gelojoh mencari pasangan disebabkan oleh faktor usia mahupun desakan keluarga. Pernahkah kita sedar adakah pasangan kita itu mampu membimbing kita dan menjadi imam dalam keluarga kita. Pernahkan kita bertanya kepada pasangan kita mampukan dia mengimamkan keluarganya nanti. Adakah anda benar-benar mengenali pasangan anda. Setiap orang mempunyai pendapat yang berbeza-beza. Akan tetapi itulah kenyataan yang harus kita terima. Sememangnya tidak ramai yang memahami erti sebenar perkahwinan. Tidak ramai yang dapat membimbing keluarga sebagaimana yang diperintahkan.

Menjadi Raja Sehari adalah hari yang paling dinanti-nantikan oleh semua pasangan pengantin. Ramai yang berlumba-lumba mahukan majlis yang penuh dengan gilang-gemilang seumpama pertabalan diraja. Tidak lupa juga dengan hantaran dan mas kahwin yang berlipat kali ganda sehinggakan ada pasangan yang menderita dengan hutang selepas kahwin. Berbelanja besar bukanlah sesuatu yang akan menjamin kebahagiaan dikemudian hari. Sememangnya kita semua mahukan perkahwinan itu diingati oleh pasangan yang melangsungkan perkahwinan maupun para hadirin yang bertandang. Namun begitu, kita haruslah mengukur baju di badan sendiri. Tidak perlulah terlalu bermegah-megahan dengan majlis besar-besaran dan hantaran yang begitu mewah.

Kepada rakan-rakan yang akan melangsungkan perkahwinan pada 2011 ini, saya mengucapkan Selamat Pengantin Baru dan selamat menjalani alam rumahtangga dan fahamilah apa yang dituntut dalam kehidupan berkeluarga. Tahniah saya ucapkan buat semua.


No comments: